Sunday 4 November 2012

Portugis menyerah kalah kepada Belanda (1641)
Pada jam 10 pagi, 14 Januari 1641, Melaka telah jatuh ke tangan Belanda. Komandan Belanda, Willemson Kaatokoe, yang ditempatkan di sebuah pengkalan di Kampung Keling, telah memasuki kubu untuk membincangkan tentang peralihan kuasa dan syarat-syarat penyerahan dengan Gabenor Portugis, Dom Manuel de Souza Coutinho.
Beliau bersetuju untuk membebaskan semua tawanan Portugis berserta barangan milik mereka setelah mendengar rayuan daripada seorang paderi. Hanya pasukan tentera diraja Portugis ditawan dan dibawa ke Betawi. Gabenor terakhir Portugis mati dua hari selepas kemenangan pihak Belanda. Belanda telah mengepung Melaka selama lapan bulan dan sepanjang tempoh tersebut hampir 7,000 penduduk Melaka terbunuh dan 10,000 lagi lari meninggalkan Melaka. Pihak Belanda kehilangan seramai 1,500 tentera termasuk tiga orang nakhoda kerana masalah kesihatan. 200 orang tentera Portugis terbunuh dan 500 lagi mati akibat gejala malaria. Kekalahan Portugis ini menandakan berakhirnya pemerintahan mereka di Melaka.
Melaka di bawah Kuasa Belanda (1641-1824)
Selepas ditawan, Melaka berfungsi sebagai pengkalan untuk menghalang musuh Belanda dari memasuki Selat Melaka dan juga merupakan pusat pengumpulan hasil dari Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya bijih timah. Belanda tidak memberi tumpuan kepada Tanah Melayu dan sepanjang pemerintahan mereka, kerajaan Johor-Riau, yang merupakan sekutu Belanda, dibiarkan menjadi lemah. Sehingga tahun 1800, kesemua negeri-negeri yang bernaung di bawah kerajaan ini keluar dari naungan Sultan Johor dan mengisytiharkan negeri mereka merdeka. Sebagai ahli perniagaan dan pedagang, orang Belanda tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap pesaingnya. Oleh kerana sikap yang demikian, pedagang-pedagang China mula mengubah haluan perdagangan mereka dan hasilnya, kemajuan yang sekian lama melimpahi Melaka mula merosot begitu juga jumlah penduduknya.

Kebebasan Beragama
Kebebasan beragama merupakan faktor utama yang mengekalkan keharmonian sosial semasa pemerintahan Kesultanan Melayu. Sebaliknya, Portugis mengharamkan sebarang amalan agama selain daripada Katolik Rumawi. Pihak Belanda pula tidak begitu tegas tentang anutan agama penduduk dan mengamalkan toleransi dalam perkara ini. Walau bagaimanapun, mereka menentang amalan agama Katolik Rumawi sehingga tahun 1695, kerana sistem yang diamalkan di Eropah, menggabungkan urusan kerajaan dengan ajaran agama.

Belanda menawan Melaka daripada Portugis (1606 – 1641)
Pihak Belanda yang mempunyai hubungan yang baik dengan Portugis, merupakan pelanggan utama mereka dalam rempah ratus dan lain-lain barangan dari timur, yang diedarkan ke seluruh bahagian utara benua Eropah. Bagaimanapun, pada tahun 1580 negara Portugal bergabung dengan negara Sepanyol di bawah pemerintahan Raja Philip II, yang merupakan seteru utama Belanda.
Baginda telah melarang pihak Belanda dari memasuki pelabuhan yang dikuasai Portugis. Dengan sebab itu, pihak Belanda terpaksa mendapatkan bekalan mereka dari sumber yang lain dan mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke timur untuk melenyapkan penguasaan pihak Portugis dalam perdagangan rempah ratus. Pihak Portugis yang berpengkalan di Goa dan Melaka mengadakan beberapa cubaan untuk menghalang kemasukan kapal-kapal Belanda ke Asia Timur, namun tidak berjaya. Kapal-kapal mereka tidak dapat menyaingi kapal-kapal Belanda yang lebih baru dan mempunyai kelengkapan yang lebih baik. Tambahan pula, pemerintah-pemerintah di Indonesia menyambut baik pihak Belanda dengan harapan persaingan sengit di antara Belanda dan Portugis akan menaikkan lagi harga pasaran barangan keluaran negara mereka dan menghasilkan kutipan cukai yang lebih tinggi.
Pihak Belanda dapat menyaingi Portugis dengan mudah kerana mereka mempunyai pelayar yang lebih mahir dan kapal-kapal yang lebih hebat, yang membolehkan mereka membawa rempah ratus ke Eropah dengan kos yang lebih murah dari pihak Portugis. Pada tahun 1602, Syarikat Hindia Timur Bersekutu Belanda ditubuhkan untuk menyatukan kesemua syarikat Belanda di Asia demi kebaikan bersama pedagang Belanda. Syarikat tersebut dengan kebenaran kerajaan Belanda, telah memonopoli perdagangan di Asia dan berkuasa untuk membuat perjanjian dan pakatan dengan pemerintah tempatan, menakluki jajahan dan membina kubu pertahanan. Semua pengkalan Belanda yang berada di India Timur telah diambil alih oleh Syarikat tersebut.

Pada tahun 1605, angkatan bersenjata Syarikat ini telah berjaya menawan kubu Portugis di Ambon dan menjadikan pulau tersebut sebagai jajahan pertamanya di kepulauan Melayu. Setelah berjaya menawan Ambon dengan mudah, Belanda yakin bahawa mereka juga boleh menawan Melaka. Pada tahun 1606, pihak Belanda membuat satu perjanjian dengan Sultan Johor dengan tujuan untuk menawan Melaka. Walau bagaimanapun, serangan pakatan Belanda-Melayu telah gagal dan Melaka terus berada di bawah jajahan Portugis selama 35 tahun yang seterusnya. Belanda mempunyai satu matlamat utama untuk menawan Melaka. Mereka mahu Betawi menjadi satu-satunya pusat perdagangan barangan timur dan untuk mencapai matlamat tersebut, mereka perlu menghentikan perdagangan Portugis di Melaka. Oleh itu, di antara tahun 1619 dan tahun 1640, pihak Belanda dengan kekuatan angkatan laut mereka telah berjaya mengalihkan kebanyakan perdagangan dari Melaka ke Betawi. Namun, pihak Belanda khuatir tentang kemungkinan Melaka jatuh ke tangan kuasa Eropah yang lain yang boleh memberi persaingan kepada Betawi. Satu-satunya cara untuk menghindari perkara ini daripada berlaku ialah dengan menawan Melaka dan menjadikannya sebuah wilayah Betawi.
Pihak Belanda membuat serangan yang berterusan ke atas kapal-kapal Portugis pada awal kurun ke-17 dan pada tahun 1606, mereka telah melancarkan satu serangan ke atas Melaka, namun gagal. Pada tahun 1640, pihak Belanda dengan pakatan bersama pihak Melayu telah mengepung kota Melaka dan menghalang kemasukan bekalan makanan. Orang-orang dari Johor mengawal bahagian sungai dan perkampungan di sekitar kota manakala pihak Belanda mengawal laluan masuk dari arah laut. Pihak Belanda juga membina benteng yang mempunyai beberapa pucuk meriam yang dihalakan ke arah kubu pertahanan Portugis di bahagian timur, supaya mereka boleh membedil pihak Portugis. Musim hujan pun bermula dan banjir yang berlaku menyebabkan kawasan rendah di mana pihak Belanda berpengkalan ditenggelami air. Wabak malaria juga merebak di kalangan tentera Belanda dan Portugis, membunuh ramai daripada mereka termasuklah dua orang nakhoda Belanda dan seterusnya melemahkan semangat perjuangan kedua belah pihak.
Kedatangan orang-orang Portugis (1511 - 1624)
Setelah menakluki Goa, Portugis mendapati bukan India tetapi sebaliknya Asia Tenggara yang boleh memberi kekayaan kepada mereka. Mereka telah mengumpul maklumat daripada setiap pelaut yang datang ke Goa dan akhirnya membuat kesimpulan bahawa sesiapa yang memerintah Melaka akan mempunyai kuasa untuk menggegarkan Venice
Bagi mengukur kekuatan Melaka, Portugis telah menghantar sepasukan peninjau dengan lima buah kapal yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira. Angkatan itu tiba di Melaka pada 11 Ogos 1509 dan de Sequeira menghantar salah seorang nakhodanya mendarat dengan membawa warkah dan hadiah dari Raja Portugis kepada Sultan. Penduduk Melaka tidak pernah melihat orang Eropah sebelum ini dan apabila kelasi-kelasi Portugis itu medarat, orang-orang Melayu mula mengerumuni mereka. Mereka amat terpegun dengan paras rupa serta warna kulit orang-orang Portugis ini. Mereka mula menyentuh janggut perang orang Portugis, mengusap kepala dan memegang tangan mereka dan menggelar mereka sebagai Benggali Putih.
Setibanya angkatan Portugis, Bendahara Melaka telah menerima kiriman warkah dan hadiah yang dibawa untuk dipersembahkan kepada Sultan. Pada mulanya, tetamu ini dilayan dengan baik tetapi keadaan berubah apabila orang-orang India dan Arab Muslim mendesak Sultan dan Bendahara agar tidak mempercayai pihak Portugis. Mereka mendakwa bahawa pihak Portugis tidak akan berpuas hati dengan hanya sekadar berkongsi keuntungan perniagaan tetapi akan merampas keseluruhannya untuk diri mereka sendiri. Justeru, satu perancangan telah dibuat untuk menangkap orang-orang Portugis dan menyerang angkatan laut mereka. Bagaimanapun, perancangan tersebut telah terbongkar apabila seorang gadis Jawa yang sedang dilamun cinta dengan salah seorang kelasi Portugis telah memaklumkan mereka. Setelah mendapati rancangan mereka telah terbongkar, pihak Melayu bertindak menangkap Ruy de Aranjo, salah seorang nakhoda Portugis bersama dua puluh kelasinya yang tidak bersenjata yang sedang membeli barang keperluan. De Sequeira gagal membebaskan tahanan tersebut dan terpaksa berlayar meninggalkan mereka.

Apabila Alfonso D’ Albuquerque, Gabenor dan Ketua Nakhoda Portugis di Timur mendapat berita tentang penangkapan orang-orangnya, dia telah mempersiapkan sebuah angkatan yang mengandungi lapan belas buah kapal dengan 1,400 anggota yang terdiri daripada 800 orang Portugis dan 600 orang India Malabar, lalu menuju ke Melaka. Angkatan D’ Albuquerque tiba di pelabuhan Melaka pada 1 Julai 1511 dengan tujuan untuk menaklukinya dan menubuhkan sebuah kerajaan baru. Setelah mendapat berita yang D’ Albuquerque dan angkatannya telah melepaskan tembakan meriam ke atas Melaka, Sultan Mahmud Syah menuntut penjelasan tentang tindakan Portugis ini. D’ Albuquerque menuntut pembebasan orang-orangnya yang ditawan dan bayaran pampasan ke atas kerugian yang mereka tanggung. Sultan Mahmud Syah menggunakan pelbagai helah dan melengah-lengahkan masa bagi memperkukuhkan lagi kubu pertahanan serta mempersiapkan segala bekalan di kedua belah bahagian Melaka yang dipisahkan oleh sungai. Pihak Portugis hilang sabar dan mengambil keputusan untuk membakar sebahagian rumah yang terletak di persisiran pantai serta kapal-kapal perdagangan yang sedang berlabuh kecuali tongkang-tongkang China dan kapal-kapal India dari Tanjung Kormorin.
Justeru, Melaka membebaskan semua tawanan akan tetapi D’ Albuquerque masih belum berpuas hati. Dia mengarahkan satu serangan dilakukan ke atas kota Melaka. Kota Melaka terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian utama kota dan bahagian pinggir kota di seberang sungai di mana para pedagang menetap. D’ Albuquerque merancang untuk menguasai jambatan yang menghubungkan kedua bahagian kota ini bagi menghalang mereka daripada saling bantu membantu di antara satu sama lain. Serangan tersebut dilancarkan pada 25 Julai 1511. Beliau sendiri mengetuai sepasukan beberapa ratus anggota tentera ke bahagian utara kota manakala sepasukan lagi bertindak menyerang jambatan. Maka berlakulah pertempuran sengit di antara tentera Portugis dengan tentera Melayu dan Jawa, yang mengakibatkan ramai yang cedera parah atau terbunuh. Pihak Portugis akhirnya terpaksa mengundurkan diri kembali ke kapal mereka dengan membawa askar yang tercedera. Serangan pertama mereka gagal.

Selang beberapa hari kemudian, D’ Albuquerque menyerang Melaka sekali lagi dan akhirnya Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pada tanggal 10 Ogos 1511. Justeru, Sultan Mahmud Syah dan keluarganya berundur ke Ulu Bertam, Pahang. Pengunduran Sultan ke Ulu Bertam membolehkan pihak Portugis melenyapkan saki-baki tentangan dari tentera diraja yang terdiri daripada orang-orang Melayu, Gujerat dan India. Tentera Portugis menawan setiap penjuru kota serta membunuh sesiapa sahaja yang disyaki menentang mereka, tidak kira lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Orang-orang dari Pegu, Burma dan orang-orang Hindu dari Tanjung Kormorin dibenarkan meninggalkan Melaka tetapi terpaksa menyerahkan segala harta benda mereka kepada Portugis.
Pada 24 Ogos tahun 1511, Alburqueque telah mengarahkan askar-askarnya merampas semua harta benda dan barang-barang bernilai milik Sultan dan rakyat Melaka. Di antara barang-barang yang dirampas adalah pasu, jongkong emas, barang kemas, batu permata, kain sutera, wangian dan dua ribu meriam tembaga. Kubu dan istana Kesultanan Melayu Melaka akhirnya musnah dan kesemua barangan bernilai habis dirampas. Keagungan dan keunggulan Kerajaan Melayu Melaka hilang akibat serangan Portugis.
Bagi mempertahankan dan memperkuatkan lagi pengkalan Portugis, Alburquerque telah membina sebuah kubu yang terletak di antara kawasan tanah tinggi dan Sungai Melaka. Kubu tersebut dikenali sebagai A Farmosa. Beratus-ratus pekerja, hamba dan tawanan perang telah dikerah untuk membina kubu tersebut. Batu-batu daripada masjid-masjid yang telah musnah dan makam-makam diraja telah digunakan untuk membina tembok tebal kubu ini. Di dalam kubu tersebut dibangunkan pula Istana Gabenor dan istana Paderi Besar, kamar Dewan Kerajaan, beberapa gereja, berek-berek, dua buah hospital, biara dan sebuah penjara.

Alburquerque juga telah berjaya menghapuskan tentangan dari Utimutiraja, Sultan Ahmad dan orang-orang Jawa yang ingin merampas Melaka kembali dari tangan Portugis. Beliau telah melantik Rui de Brito sebagai Gabenor dan Nina Chattu sebagai Perdana Menteri. Beliau kemudiannya memastikan keamanan serta aktiviti perdagangan dipulihkan dengan menggalakkan pedagang-pedagang membuka kembali perniagaan mereka. Selain itu, beliau juga telah menghantar beberapa misi persahabatan ke Siam, Jawa, China dan Kepulauan Maluku. Magellan, yang merupakan orang pertama belayar ke seluruh dunia dari tahun 1519 hingga ke tahun 1522, adalah salah seorang pegawai Albuquerque ketika penawanan Melaka.
Bagi memastikan perdagangan berjalan lancar, Albuquerque telah memperkenalkan mata wang yang baru di Melaka. Walaupun aktiviti perdagangan secara amnya dijalankan secara barter, terdapat juga beberapa urus niaga yang dijalankan dengan menggunakan wang timah Melayu. Wang baru yang diperkenalkan oleh Portugis adalah dalam bentuk timah atau tembaga, perak dan emas.
Apabila beliau telah berpuas hati dengan keadaan di Melaka, Albuquerque pun kembali ke markasnya di Goa. Beliau meninggalkan Melaka pada Januari 1512, membawa bersamanya kesemua khazanah Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja dan Permaisuri Portugal. Walau bagaimanapun, kapalnya, Flora de la Mar, telah dilanda badai di perairan barat Sumatra. Hampir kesemua barang-barang yang dibawanya hilang, namun beliau bernasib baik kerana terselamat dari bencana tersebut.

Pihak Portugis berjaya mengekalkan kekuasaan mereka di Melaka daripada mana-mana musuh selama 130 tahun dan kota itu terus menjadi pusat perdagangan di timur, terutamanya dalam dagangan rempah ratus. Manakala Sultan Mahmud pula berundur dari Teloh Naning ke Ulu Muar, dan kemudian menetap di Pagoh dan Bentayan. Sultan Mahmud dan keturunananya membina empayar Johor-Riau yang merangkumi Johor, kepulauan Riau, Pahang dan lain-lain bahagian kerajaan Melaka yang tidak dijajah Portugis. Walaupun Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud dan puteranya Sultan Ahmad tidak putus-putus menghantar tenteranya untuk menyerang Portugis di Melaka dari tahun 1511 sehingga tahun 1526. Sultan Mahmud mangkat di Kampar, Sumatera pada tahun 1528 dan digelar Marhum Kampar. Tidak lama kemudian, laksamananya, Khoja Hassan juga meninggal dunia. Hang Nadim telah dilantik sebagai laksamana yang baru. Hang Nadim pernah membantu Sultan Mahmud di dalam dua cubaan untuk mendapatkan semula takhta baginda pada tahun 1519 dan 1523. Hang Nadim juga pernah berusaha mengepung Melaka dengan tujuan menghalang bekalan makanan daripada masuk ke kota Melaka. Dia telah membuktikan kepimpinan dan keberaniannya dengan mengalahkan Portugis ketika mereka menyerang Bintam dan Kopak. Kegagahannya amat dikagumi oleh orang Melayu dan serangan bertubi-tubi ke atas Portugis telah melemahkan semangat perjuangan mereka serta merugikan perdagangan mereka di Melaka.
Namun, Portugis mempunyai musuh yang lebih kuat iaitu Acheh di utara Sumatera, yang terletak di seberang Selat Melaka. Sultan-sultannya merupakan pejuang Islam dan mereka juga menguasai perdagangan lada hitam di Sumatera. Sultan Acheh yang berkeinginan menawan Melaka, telah beberapa kali melancarkan serangan, namun tidak berjaya. Pihak Portugis kemudiannya membuka beberapa buah pengkalan di serata kepulauan Melayu dan di China. Portugis mampu mengekalkan kekuasaan mereka selagi mereka menguasai lautan dan selagi kehebatan kapal-kapal mereka tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kapal dari Asia. Namun, lama kelamaan pihak Portugis tidak berdaya menyaingi kemampuan teknologi pembinaan kapal di lain-lain negara Eropah. Pihak Portugis tidak dapat menandingi kehebatan kapal-kapal Belanda dan Inggeris yang mula datang ke timur.

Portugis merupakan orang Eropah yang pertama datang ke timur dan membawa bersama mereka budaya dan agama yang baru. Mubaligh mereka telah menyebarkan ajaran Kritian di India, Melaka, kepulauan Maluku, Makau dan Jepun. Di antara mubaligh yang terkenal ialah St. Francis Xavier. Dia tiba di Melaka dari Goa pada tahun 1545 dan mengembara di serata rantau Asia seperti Jepun, India dan Amboyna untuk menyebarkan ajaran Kristian. Dia merupakan orang pertama membina sekolah yang dinamakan Kolej St. Paul di Melaka pada tahun 1548 untuk pelajar dari pelbagai bangsa. St Francis Xavier mati di pulau Sanchan di perairan China pada bulan Disember tahun 1552. Jenazahnya di bawa ke Melaka dan seterusnya ke Goa, di mana ia masih disimpan sehingga hari ini.
Orang-orang Portugis digalakkan mengahwini wanita tempatan lantas mewujudkan sebuah komuniti Serani yang besar tidak lama kemudian. Pada hari ini, komuniti Serani Portugis masih ada di Melaka dan di bandar-bandar lain di Malaysia dan kebanyakan dari mereka bertutur dalam dialek Portugis. Walaupun Portugis kehilangan kuasa di Melaka lebih 300 tahun dahulu, banyak perkataan dalam bahasa mereka yang digunakan dalam bahasa Melayu. Di antara contoh perkataan-perkataan tersebut adalah almari (almario), bendera (bandera), mentega (mantaga), garfu (garfo) dan meja (mesa).

Zaman Prasejarah

Malaysia terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu, yang merupakan bahagian paling selatan benua Asia, dan negeri-negeri Sabah dan Sarawak di Utara Pulau Borneo, yang terletak ke arah timur sejauh 530 kilometer di seberang Laut China Selatan.
Tempoh prasejarah negara Malaysia bermula daripada kesan-kesan terawal penempatan manusia yang diketahui iaitu di sekitar 40 ribu tahun dahulu dan berlanjutan sehingga terbentuknya Kesultanan Melaka di sekitar tahun 1400, yang merupakan tarikh yang kebiasaannya digunakan sebagai permulaan era sejarah negara. Namun, tempoh prasejarah yang panjang ini kurang mendapat perhatian kerana kebanyakan penulisan yang sedia ada tertumpu kepada kehebatan Melaka.

Kerja-kerja penyelidikan berkenaan sejarah awal di Malaysia juga banyak dipengaruhi oleh dua faktor yang utama, iaitu keadaan fizikal geografinya dan keadaan cuaca. Para penyelidik lebih cenderung menumpukan kajian mereka samada di Semenanjung atau pun di sekitar Sabah dan Sarawak sahaja, dan ini mengakibatkan hasil kajian yang tidak menyeluruh tentang tempoh prasejarah negara Malaysia. Keadaan cuaca yang begitu panas terik dan hutan hujan yang tebal tidak banyak meninggalkan artifak-artifak dari tempoh awal ini, selain daripada barangan tembikar tanah dan perkakas-perkakas yang diperbuat daripada batu dan besi. Kebanyakan artifak tersebut, termasuk kawasan perkuburan, telah ditemui di ruang yang terlindung di dalam gua-gua. Satu-satunya peninggalan binaan yang masih boleh dilihat adalah batu-batu asas bangunan yang dibina semasa era kerajaan purba di Kedah dan di Santubong, Sarawak di sekitar abad ke-5 sehingga abad ke-13.

Bukti terawal penempatan manusia di Sarawak adalah merupakan sebuah tengkorak yang berusia 38,000 tahun yang ditemui di Gua Niah, manakala bagi kawasan Semenanjung pula merupakan sebuah rangka yang berusia 11,000 tahun yang ditemui di Gua Gunung Runtuh di Perak. Artifak yang tertua adalah merupakan sebuah bangku batu zaman Paleolitik dari Kota Tampan, Perak yang berusia 34,000 tahun, manakala artifak tertua dari kawasan Borneo pula adalah alatan batu di Tingkayu, Sabah yang dihasilkan di antara 18,000 hingga 28,000 tahun dahulu. Cara hidup berburu dan mengumpul makanan telah berubah dengan begitu dramatik sekali di sekitar 5,000 tahun dahulu berikutan dengan penemuan kaedah bagi menghasilkan perkakas batu yang digilap dan barangan tembikar tanah. Bukti-bukti penghidupan dari zaman Neolitik boleh ditemui di kawasannya sendiri, atau di kawasan-kawasan Mesolitik, termasuklah di Gua Niah di Sarawak, Gua Cha di Kelantan dan Gua Kechil di Pahang.

Kawasan-kawasan dari Zaman Logam di Semenanjung juga tertumpu di bahagian utara, melainkan penemuan sebuah loceng yang diperbuat dari gangsa di Muar, Johor. Penemuan-penemuan di bahagian pantai timur pula tertumpu di kawasan-kawasan yang mempunyai sumber emas, manakala di pantai barat pula adalah berdekatan kawasan sumber bijih timah. Kehidupan di Zaman Logam juga dapat dilihat melalui pelbagai barangan yang diperbuat daripada besi seperti sebuah alat berbentuk batang yang panjang yang dikenali dalam kalangan orang Melayu sebagai tulang mawas dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia. Penemuan barangan gangsa dari Utara Vietnam membuktikan wujudnya pelayaran jarak jauh dan seterusnya menghasilkan hubungan perdagangan laut dengan penempatan lain di Asia Tenggara. Manik-manik daripada India yang ditemui di kawasan-kawasan Zaman Logam seperti di Kuala Selinsing (200 SM – 900 M) dan Changkat Menteri (1 – 800 M) di Perak adalah bukti terdapatnya juga hubungan dagangan dengan Asia Selatan
Penubuhan Malaysia
Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak. Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia, dan tuntutan oleh Filipina terhadap Sabah. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan berlakunya rusuhan kaum pada 1969.
Zaman penjajahan
Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957
Penempatan terawal British di Malaysia bermula dengan pendudukan Pulau Balambangan pada tahun 1769 hasil dari perjanjian dengan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Manakala penempatan Selat Koloni DiRaja Britain diwujudkan pada 1826, dan Britain sedikit demi sedikit menyebarkan pengaruh dan kawalannya ke atas seluruh semenanjung. Penempatan Selat termasuk Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Pada 1867, Inggeris menjadi semakin agresif dan mula mendapatkan negeri negeri Melayu yang lain. Disebabkan perang saudara, gangguan persatuan sulit Cina, Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah masalah penduduk Negeri Selat. Akhirnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke negeri negeri Melayu (iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikenali juga Negeri-negeri Bersekutu). Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Tidak Bersekutu ialah Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang berada di bawah kuasa Thai.
Di Borneo pula, Borneo Utara yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu sekarang Sabah) telah berada dibawah pajakan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada tahun 1881 sehingga 1946 apabila ia ditabalkan sebagai Koloni Diraja British. Manakala Sarawak menjadi milik keluarga Brooke sebelum dari itu.
Akibat penaklukan Jepun pada Perang Dunia II dan kebangkitan komunis, kesedaran untuk merdeka semakin menyerlah dan kuat. Perkara ini amat dikhuatir oleh British khususnya dalam menjaga kepentingannya dan masyarakat imigran. justeru British mewujudkan Malayan Union, masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-melayu, menolak kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal (berbanding dwiwarganegara, yang membolehkan kaum pendatang mendapat status warganegara Malaya dan negara asal mereka). Kemerdekaan untuk semenanjung diperolehi pada 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya, tanpa Singapura.
Lihat juga: Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu
Sejarah awal
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sejarah awal Malaysia bermula dengan kewujudan manusia awal berusia 40,000 tahun yang ditemui di Kompleks Gua Mulu dan kompleks gua niah, Sarawak. Secara dasarnya sejarah negara ini telah melalui empat zaman utama sejarah manusia iaitu Prasejarah, Proto Sejarah, Zaman Pertengahan dan Zaman Kolonial.
Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui pelabuhan di Selat Melaka. Penemuan beberapa tapak arkeologi Zaman Proto Sejarah membuktikan wujud petempatan pesisiran pantai seawal abad ke-2 Masihi lagi. Ia membawa kepada kemunculan kerajaan awal sebelum abad ke-10 adalah merupakan penemepatan pesisir pantai dan pelabuhan kecil. Ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Gangga Negara di Perak, dan Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat Melaka.
Manakala di Borneo pula, kewujudan kerajaan purba Marudu sebelum abad ke-13 Masehi dan Santubung lebih awal lagi membuktikan telah wujud entiti politik yang mendahului kewujudan Kesultanan Brunei dan kesultanan Sulu.