|
Malaysia terdiri daripada
Semenanjung Tanah Melayu, yang merupakan bahagian paling selatan benua Asia, dan
negeri-negeri Sabah dan Sarawak di Utara Pulau Borneo, yang terletak ke arah
timur sejauh 530 kilometer di seberang Laut China Selatan.
Tempoh prasejarah negara Malaysia bermula daripada kesan-kesan terawal
penempatan manusia yang diketahui iaitu di sekitar 40 ribu tahun dahulu dan
berlanjutan sehingga terbentuknya Kesultanan Melaka di sekitar tahun 1400, yang
merupakan tarikh yang kebiasaannya digunakan sebagai permulaan era sejarah
negara. Namun, tempoh prasejarah yang panjang ini kurang mendapat perhatian
kerana kebanyakan penulisan yang sedia ada tertumpu kepada kehebatan Melaka.
|
|
|
|
Kerja-kerja penyelidikan berkenaan
sejarah awal di Malaysia juga banyak dipengaruhi oleh dua faktor yang utama,
iaitu keadaan fizikal geografinya dan keadaan cuaca. Para penyelidik lebih
cenderung menumpukan kajian mereka samada di Semenanjung atau pun di sekitar
Sabah dan Sarawak sahaja, dan ini mengakibatkan hasil kajian yang tidak
menyeluruh tentang tempoh prasejarah negara Malaysia. Keadaan cuaca yang begitu
panas terik dan hutan hujan yang tebal tidak banyak meninggalkan artifak-artifak
dari tempoh awal ini, selain daripada barangan tembikar tanah dan
perkakas-perkakas yang diperbuat daripada batu dan besi. Kebanyakan artifak
tersebut, termasuk kawasan perkuburan, telah ditemui di ruang yang terlindung di
dalam gua-gua. Satu-satunya peninggalan binaan yang masih boleh dilihat adalah
batu-batu asas bangunan yang dibina semasa era kerajaan purba di Kedah dan di
Santubong, Sarawak di sekitar abad ke-5 sehingga abad ke-13.
|
|
|
|
Bukti terawal penempatan manusia di
Sarawak adalah merupakan sebuah tengkorak yang berusia 38,000 tahun yang ditemui
di Gua Niah, manakala bagi kawasan Semenanjung pula merupakan sebuah rangka yang
berusia 11,000 tahun yang ditemui di Gua Gunung Runtuh di Perak. Artifak yang
tertua adalah merupakan sebuah bangku batu zaman Paleolitik dari Kota Tampan,
Perak yang berusia 34,000 tahun, manakala artifak tertua dari kawasan Borneo
pula adalah alatan batu di Tingkayu, Sabah yang dihasilkan di antara 18,000
hingga 28,000 tahun dahulu. Cara hidup berburu dan mengumpul makanan telah
berubah dengan begitu dramatik sekali di sekitar 5,000 tahun dahulu berikutan
dengan penemuan kaedah bagi menghasilkan perkakas batu yang digilap dan barangan
tembikar tanah. Bukti-bukti penghidupan dari zaman Neolitik boleh ditemui di
kawasannya sendiri, atau di kawasan-kawasan Mesolitik, termasuklah di Gua Niah
di Sarawak, Gua Cha di Kelantan dan Gua Kechil di Pahang.
|
|
|
|
Kawasan-kawasan dari Zaman Logam di
Semenanjung juga tertumpu di bahagian utara, melainkan penemuan sebuah loceng
yang diperbuat dari gangsa di Muar, Johor. Penemuan-penemuan di bahagian pantai
timur pula tertumpu di kawasan-kawasan yang mempunyai sumber emas, manakala di
pantai barat pula adalah berdekatan kawasan sumber bijih timah. Kehidupan di
Zaman Logam juga dapat dilihat melalui pelbagai barangan yang diperbuat daripada
besi seperti sebuah alat berbentuk batang yang panjang yang dikenali dalam
kalangan orang Melayu sebagai tulang mawas dan hanya ditemui di Semenanjung
Malaysia. Penemuan barangan gangsa dari Utara Vietnam membuktikan wujudnya
pelayaran jarak jauh dan seterusnya menghasilkan hubungan perdagangan laut
dengan penempatan lain di Asia Tenggara. Manik-manik daripada India yang ditemui
di kawasan-kawasan Zaman Logam seperti di Kuala Selinsing (200 SM – 900 M) dan
Changkat Menteri (1 – 800 M) di Perak adalah bukti terdapatnya juga hubungan
dagangan dengan Asia Selatan
|
|
|
No comments:
Post a Comment