PERDANA MENTERI KEEMPAT
NAMA: Tun Dr Mahathir Mohamad TARIKH
LAHIR: 20 Disember 1925 GELARAN: Bapa Pemodenan TEMPOH BERKHIDMAT: 16 Julai 1981
hingga 31 Oktober 2003
TUN Dr Mahathir dilahirkan di Seberang Perak, Alor
Star, Kedah. Beliau Perdana Menteri paling lama dalam sejarah negara, iaitu 22
tahun. Pemimpin yang digelar Pencetus Minda Malaysia ke arah negara maju lantang
menyuarakan pelbagai pendapat inovatif yang disifatkan mendahului zamannya. Di
bawah pemerintahannya, negara melalui pelbagai proses pembangunan sehingga
Malaysia dikenali di dunia.
Sejarah hitam apabila Umno diisytihar sebagai
parti pemerintah tidak sah berikutan rasa tidak puas hati segelintir ahli Umno
pada 4 Februari 1988, memberi kesempatan kepada Dr Mahathir menyusun strategi
untuk menyatupadukan ahli parti serta berjuang habis-habisan demi kemajuan
negara.
Terlalu banyak sumbangan jika hendak disenaraikan kerana beliau
tidak pernah jemu memperkenalkan pelbagai dasar serta projek pembangunan seperti
kempen Bersih, Cekap dan Amanah, Kepimpinan Melalui Teladan, Dasar Kependudukan
70 Juta, Dasar Pandang Ke Timur, penswastaan dan Dasar Perindustrian
Negara.
Hasrat melihat Malaysia menjadi negara maju dan mempunyai rakyat
yang mampu bersaing di peringkat dunia dilahirkan melalui Wawasan 2020. Sejak
itu pelbagai pembangunan dilihat, termasuk pelancaran Dasar Perindustrian Negara
yang menaikkan nama negara apabila berjaya menghasilkan kenderaan nasional
Proton Saga dan motosikal Kriss, selain pembinaan litar Formula 1, Transit
Aliran Ringan (LRT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),
Putrajaya dan Cyberjaya.
No comments:
Post a Comment