|
|
|
|
|
|
|
|
Setelah menakluki Goa, Portugis
mendapati bukan India tetapi sebaliknya Asia Tenggara yang boleh memberi
kekayaan kepada mereka. Mereka telah mengumpul maklumat daripada setiap pelaut
yang datang ke Goa dan akhirnya membuat kesimpulan bahawa sesiapa yang
memerintah Melaka akan mempunyai kuasa untuk menggegarkan Venice
|
|
|
Bagi mengukur kekuatan Melaka,
Portugis telah menghantar sepasukan peninjau dengan lima buah kapal yang
diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira. Angkatan itu tiba di Melaka pada 11 Ogos
1509 dan de Sequeira menghantar salah seorang nakhodanya mendarat dengan membawa
warkah dan hadiah dari Raja Portugis kepada Sultan. Penduduk Melaka tidak pernah
melihat orang Eropah sebelum ini dan apabila kelasi-kelasi Portugis itu medarat,
orang-orang Melayu mula mengerumuni mereka. Mereka amat terpegun dengan paras
rupa serta warna kulit orang-orang Portugis ini. Mereka mula menyentuh janggut
perang orang Portugis, mengusap kepala dan memegang tangan mereka dan menggelar
mereka sebagai Benggali Putih.
Setibanya angkatan Portugis, Bendahara Melaka telah menerima kiriman
warkah dan hadiah yang dibawa untuk dipersembahkan kepada Sultan. Pada mulanya,
tetamu ini dilayan dengan baik tetapi keadaan berubah apabila orang-orang India
dan Arab Muslim mendesak Sultan dan Bendahara agar tidak mempercayai pihak
Portugis. Mereka mendakwa bahawa pihak Portugis tidak akan berpuas hati dengan
hanya sekadar berkongsi keuntungan perniagaan tetapi akan merampas
keseluruhannya untuk diri mereka sendiri. Justeru, satu perancangan telah dibuat
untuk menangkap orang-orang Portugis dan menyerang angkatan laut mereka.
Bagaimanapun, perancangan tersebut telah terbongkar apabila seorang gadis Jawa
yang sedang dilamun cinta dengan salah seorang kelasi Portugis telah memaklumkan
mereka. Setelah mendapati rancangan mereka telah terbongkar, pihak Melayu
bertindak menangkap Ruy de Aranjo, salah seorang nakhoda Portugis bersama dua
puluh kelasinya yang tidak bersenjata yang sedang membeli barang keperluan. De
Sequeira gagal membebaskan tahanan tersebut dan terpaksa berlayar meninggalkan
mereka.
|
|
|
Apabila Alfonso D’ Albuquerque,
Gabenor dan Ketua Nakhoda Portugis di Timur mendapat berita tentang penangkapan
orang-orangnya, dia telah mempersiapkan sebuah angkatan yang mengandungi lapan
belas buah kapal dengan 1,400 anggota yang terdiri daripada 800 orang Portugis
dan 600 orang India Malabar, lalu menuju ke Melaka. Angkatan D’ Albuquerque tiba
di pelabuhan Melaka pada 1 Julai 1511 dengan tujuan untuk menaklukinya dan
menubuhkan sebuah kerajaan baru. Setelah mendapat berita yang D’ Albuquerque dan
angkatannya telah melepaskan tembakan meriam ke atas Melaka, Sultan Mahmud Syah
menuntut penjelasan tentang tindakan Portugis ini. D’ Albuquerque menuntut
pembebasan orang-orangnya yang ditawan dan bayaran pampasan ke atas kerugian
yang mereka tanggung. Sultan Mahmud Syah menggunakan pelbagai helah dan
melengah-lengahkan masa bagi memperkukuhkan lagi kubu pertahanan serta
mempersiapkan segala bekalan di kedua belah bahagian Melaka yang dipisahkan oleh
sungai. Pihak Portugis hilang sabar dan mengambil keputusan untuk membakar
sebahagian rumah yang terletak di persisiran pantai serta kapal-kapal
perdagangan yang sedang berlabuh kecuali tongkang-tongkang China dan kapal-kapal
India dari Tanjung Kormorin.
Justeru, Melaka membebaskan semua tawanan akan tetapi D’ Albuquerque
masih belum berpuas hati. Dia mengarahkan satu serangan dilakukan ke atas kota
Melaka. Kota Melaka terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian utama kota dan
bahagian pinggir kota di seberang sungai di mana para pedagang menetap. D’
Albuquerque merancang untuk menguasai jambatan yang menghubungkan kedua bahagian
kota ini bagi menghalang mereka daripada saling bantu membantu di antara satu
sama lain. Serangan tersebut dilancarkan pada 25 Julai 1511. Beliau sendiri
mengetuai sepasukan beberapa ratus anggota tentera ke bahagian utara kota
manakala sepasukan lagi bertindak menyerang jambatan. Maka berlakulah
pertempuran sengit di antara tentera Portugis dengan tentera Melayu dan Jawa,
yang mengakibatkan ramai yang cedera parah atau terbunuh. Pihak Portugis
akhirnya terpaksa mengundurkan diri kembali ke kapal mereka dengan membawa askar
yang tercedera. Serangan pertama mereka gagal.
|
|
|
Selang beberapa hari kemudian, D’
Albuquerque menyerang Melaka sekali lagi dan akhirnya Melaka telah jatuh ke
tangan Portugis pada tanggal 10 Ogos 1511. Justeru, Sultan Mahmud Syah dan
keluarganya berundur ke Ulu Bertam, Pahang. Pengunduran Sultan ke Ulu Bertam
membolehkan pihak Portugis melenyapkan saki-baki tentangan dari tentera diraja
yang terdiri daripada orang-orang Melayu, Gujerat dan India. Tentera Portugis
menawan setiap penjuru kota serta membunuh sesiapa sahaja yang disyaki menentang
mereka, tidak kira lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Orang-orang dari Pegu,
Burma dan orang-orang Hindu dari Tanjung Kormorin dibenarkan meninggalkan Melaka
tetapi terpaksa menyerahkan segala harta benda mereka kepada Portugis.
Pada 24 Ogos tahun 1511, Alburqueque telah mengarahkan askar-askarnya
merampas semua harta benda dan barang-barang bernilai milik Sultan dan rakyat
Melaka. Di antara barang-barang yang dirampas adalah pasu, jongkong emas, barang
kemas, batu permata, kain sutera, wangian dan dua ribu meriam tembaga. Kubu dan
istana Kesultanan Melayu Melaka akhirnya musnah dan kesemua barangan bernilai
habis dirampas. Keagungan dan keunggulan Kerajaan Melayu Melaka hilang akibat
serangan Portugis.
Bagi mempertahankan dan memperkuatkan lagi pengkalan Portugis,
Alburquerque telah membina sebuah kubu yang terletak di antara kawasan tanah
tinggi dan Sungai Melaka. Kubu tersebut dikenali sebagai A Farmosa.
Beratus-ratus pekerja, hamba dan tawanan perang telah dikerah untuk membina kubu
tersebut. Batu-batu daripada masjid-masjid yang telah musnah dan makam-makam
diraja telah digunakan untuk membina tembok tebal kubu ini. Di dalam kubu
tersebut dibangunkan pula Istana Gabenor dan istana Paderi Besar, kamar Dewan
Kerajaan, beberapa gereja, berek-berek, dua buah hospital, biara dan sebuah
penjara.
|
|
|
Alburquerque juga telah berjaya
menghapuskan tentangan dari Utimutiraja, Sultan Ahmad dan orang-orang Jawa yang
ingin merampas Melaka kembali dari tangan Portugis. Beliau telah melantik Rui de
Brito sebagai Gabenor dan Nina Chattu sebagai Perdana Menteri. Beliau
kemudiannya memastikan keamanan serta aktiviti perdagangan dipulihkan dengan
menggalakkan pedagang-pedagang membuka kembali perniagaan mereka. Selain itu,
beliau juga telah menghantar beberapa misi persahabatan ke Siam, Jawa, China dan
Kepulauan Maluku. Magellan, yang merupakan orang pertama belayar ke seluruh
dunia dari tahun 1519 hingga ke tahun 1522, adalah salah seorang pegawai
Albuquerque ketika penawanan Melaka.
Bagi memastikan perdagangan berjalan lancar, Albuquerque telah
memperkenalkan mata wang yang baru di Melaka. Walaupun aktiviti perdagangan
secara amnya dijalankan secara barter, terdapat juga beberapa urus niaga yang
dijalankan dengan menggunakan wang timah Melayu. Wang baru yang diperkenalkan
oleh Portugis adalah dalam bentuk timah atau tembaga, perak dan emas.
Apabila beliau telah berpuas hati dengan keadaan di Melaka, Albuquerque
pun kembali ke markasnya di Goa. Beliau meninggalkan Melaka pada Januari 1512,
membawa bersamanya kesemua khazanah Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja dan
Permaisuri Portugal. Walau bagaimanapun, kapalnya, Flora de la Mar, telah
dilanda badai di perairan barat Sumatra. Hampir kesemua barang-barang yang
dibawanya hilang, namun beliau bernasib baik kerana terselamat dari bencana
tersebut.
|
|
|
Pihak Portugis berjaya mengekalkan
kekuasaan mereka di Melaka daripada mana-mana musuh selama 130 tahun dan kota
itu terus menjadi pusat perdagangan di timur, terutamanya dalam dagangan rempah
ratus. Manakala Sultan Mahmud pula berundur dari Teloh Naning ke Ulu Muar, dan
kemudian menetap di Pagoh dan Bentayan. Sultan Mahmud dan keturunananya membina
empayar Johor-Riau yang merangkumi Johor, kepulauan Riau, Pahang dan lain-lain
bahagian kerajaan Melaka yang tidak dijajah Portugis. Walaupun Melaka sudah
jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud dan puteranya Sultan Ahmad tidak
putus-putus menghantar tenteranya untuk menyerang Portugis di Melaka dari tahun
1511 sehingga tahun 1526. Sultan Mahmud mangkat di Kampar, Sumatera pada tahun
1528 dan digelar Marhum Kampar. Tidak lama kemudian, laksamananya, Khoja Hassan
juga meninggal dunia. Hang Nadim telah dilantik sebagai laksamana yang baru.
Hang Nadim pernah membantu Sultan Mahmud di dalam dua cubaan untuk mendapatkan
semula takhta baginda pada tahun 1519 dan 1523. Hang Nadim juga pernah berusaha
mengepung Melaka dengan tujuan menghalang bekalan makanan daripada masuk ke kota
Melaka. Dia telah membuktikan kepimpinan dan keberaniannya dengan mengalahkan
Portugis ketika mereka menyerang Bintam dan Kopak. Kegagahannya amat dikagumi
oleh orang Melayu dan serangan bertubi-tubi ke atas Portugis telah melemahkan
semangat perjuangan mereka serta merugikan perdagangan mereka di Melaka.
Namun, Portugis mempunyai musuh yang lebih kuat iaitu Acheh di utara
Sumatera, yang terletak di seberang Selat Melaka. Sultan-sultannya merupakan
pejuang Islam dan mereka juga menguasai perdagangan lada hitam di Sumatera.
Sultan Acheh yang berkeinginan menawan Melaka, telah beberapa kali melancarkan
serangan, namun tidak berjaya. Pihak Portugis kemudiannya membuka beberapa buah
pengkalan di serata kepulauan Melayu dan di China. Portugis mampu mengekalkan
kekuasaan mereka selagi mereka menguasai lautan dan selagi kehebatan kapal-kapal
mereka tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kapal dari Asia. Namun, lama
kelamaan pihak Portugis tidak berdaya menyaingi kemampuan teknologi pembinaan
kapal di lain-lain negara Eropah. Pihak Portugis tidak dapat menandingi
kehebatan kapal-kapal Belanda dan Inggeris yang mula datang ke timur.
|
|
|
Portugis merupakan orang Eropah yang
pertama datang ke timur dan membawa bersama mereka budaya dan agama yang baru.
Mubaligh mereka telah menyebarkan ajaran Kritian di India, Melaka, kepulauan
Maluku, Makau dan Jepun. Di antara mubaligh yang terkenal ialah St. Francis
Xavier. Dia tiba di Melaka dari Goa pada tahun 1545 dan mengembara di serata
rantau Asia seperti Jepun, India dan Amboyna untuk menyebarkan ajaran Kristian.
Dia merupakan orang pertama membina sekolah yang dinamakan Kolej St. Paul di
Melaka pada tahun 1548 untuk pelajar dari pelbagai bangsa. St Francis Xavier
mati di pulau Sanchan di perairan China pada bulan Disember tahun 1552.
Jenazahnya di bawa ke Melaka dan seterusnya ke Goa, di mana ia masih disimpan
sehingga hari ini.
Orang-orang Portugis digalakkan mengahwini wanita tempatan lantas
mewujudkan sebuah komuniti Serani yang besar tidak lama kemudian. Pada hari ini,
komuniti Serani Portugis masih ada di Melaka dan di bandar-bandar lain di
Malaysia dan kebanyakan dari mereka bertutur dalam dialek Portugis. Walaupun
Portugis kehilangan kuasa di Melaka lebih 300 tahun dahulu, banyak perkataan
dalam bahasa mereka yang digunakan dalam bahasa Melayu. Di antara contoh
perkataan-perkataan tersebut adalah almari (almario), bendera (bandera), mentega
(mantaga), garfu (garfo) dan meja (mesa).
|
|
No comments:
Post a Comment